perjalanan hidup yang berliku-liku

Amalkan apa yang kamu sampaikan...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih...

Sebagaimana kebanyakkan alim ulama yang terdidik dalam Islam mencuaikan tugas-tugas tabligh (menyampaikan), maka begitulah adanya orang-orang yang menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada orang-orang lain dengan cara syarahan dan tulisan tetapi tidak mengamalkan apa yang mereka sampaikan. Kebetulannya, mereka itu sebagai mubaligh patutlah memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu dari mencuba memperbaiki diri orang lain. Rasulullah saw dengan keras menegah mereka yang tidak mengamalkan ajaran-ajaran mereka dari apa yang mereka tablighkan (sampaikan).

Dalam sebuah hadith dinyatakan ;
setengah penghuni-penghubi syurga akan bertanya kepada penghuni-penghuni neraka : "betapa kamu sekalian di sini, padahal kami ikuti ajaran-ajaran kamu, oleh itu kami berada di dalam syurga? " mereka menjawab : "kami tidak mengamalkan apa yang kami ajarkan kepada orang lain."

Hadith yang lain menyatakan ;
Azab Allah lebih cepat menimpa pelajar-pelajar yang jahat daripada orang-orang biasa yang berdosa. Mereka akan terperanjat melihat ini serta akan bertanya : "Mengapa azab Allah diazabkan ke atas kami terlebih dahulu daripada ke atas penyembah-penyembah berhala?" Mereka menjawab : " Mereka yang berpengetahuan penuh tentang agama adalah lebih bersalah daripada mereka yang tidak berpengetahuan."

Allah swt berfirman di dalam al-Quran :
Adakah kamu perintahkan orang-orang berbuat kebajikan tetapi kamu lupa dirimu sendiri walaupun kamu membaca kitab? Tidakkah kamu faham? "
(surah Al-Baqarah : 44)


Abu Darda ra adalah seorang sahabat Rasulullah saw yang terkenal. Beliau telah berkata : "Yang paling aku takuti ialah soalan yang akan dikemukakan kepadaku pada hari hisab di depan sekalian manusia iaitu : 'Adakah kamu berbuat menurut apa yang kamu tahu?'. "

Salah seorang sahabat Rasulullah saw bertanya kepada baginda saw : " Siapakah makhluk yang paling buruk?"
Baginda saw menjawab : " Jangan tanya kepadaku soalan-soalan tentang perkara yang tidak baik tetapi tanyalah soalan-soalan tentang hal yang baik-baik. Makhluk yang paling buruk ialah alim ulama yang jahat yang tidak mengamalkan apa yang mereka katakan."

Dalam sebuah hadith lagi, Rasulullah saw telah bersabda :
" Pengetahuan ada dua macam. Pertama, yang kekal di lidah sahaja dan tidak berkesan pada hati, dan kedua, yang menyerap di hati sanubari dan menghidupkan semangat."

Saya berdoa ke hadrat Allah swt agar Dia membolehkan saya mengamalkan apa yang saya sampaikan kerana saya hanyalah mengharapkan limpah rahim-Nya sahaja.




Dipetik daripada kitab Fadhail Amal bahagian Fadhilat Tabligh bab Amalkan apa yang kamu sampaikan. Karya Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria al-Khandalawi
(bapa Muhaddisin)...semoga Allah merahmati roh beliau.

No comments:

Post a Comment