Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah
az-Zaariyat ayat 56:
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ
لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu.”

Seterusnya, Imam asy-Sya’rawi telah menekankan makna
beribadah itu ialah bagaimana seluruh gerak kehidupan seseorang itu benar-benar
dapat menepati perintah-perintah Allah SWT.
Apabila kita menelusuri sejarah wujudnya manusia seawal
kejadian Adam dan Hawa ‘alaihimas-salam, adalah jelas bahawa kewujudan mereka
adalah untuk berurusan dengan titah-perintah Allah. Cuba kita renungi, setelah
diciptakan, Nabi Adam a.s. telah ditempatkan di dalam syurga. Lalu diikuti
dengan penciptaan Hawa a.s. Kita semua maklum, syurga sebenarnya adalah satu
tempat untuk menikmati sepuas-puasnya kehendak hati, nafsu dan syahwat insan
tanpa had dan batasnya.
Allah menyebutkan
sifat syurga tersebut, “dan kamu akan beroleh di dalamnya apa yang diingini oleh
nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan
mendapatnya.” (Surah Fussilat 40: 31) Bagaimanapun, ketika Adam dan Hawa
menghuni syurga, Allah menetapkan bahawa mereka bebas menikmati apa sahaja di
syurga itu kecuali mendekati sepohon kayu. Ini adalah satu simbolik dan petanda
betapa wujudnya manusia ini adalah untuk berurusan dengan titah-perintah Allah
SWT. Bagi memperingatkan dan memberitahu manusia mengenai perintah beribadah
ini, nabi demi nabi, rasul demi rasul telah diutuskan oleh Allah SWT,
sehinggalah terhenti salasilahnya dengan kedatangan dan kerasulan Rasulullah
s.a.w.
Rasulullah s.a.w.,
sebagaimana para rasul sebelum baginda, telah bangun atas satu usaha, iaitu
usaha untuk mengajak dan memujuk rayu manusia untuk mengenali Allah dan beriman
kepada-Nya. Inilah asas kepada ibadah. Tanpa iman, seluruh kebaktian manusia
tidak akan ada nilainya di sisi Allah.
Ayat di atas
sebenarnya merupakan satu seruan agar kita semua sebagai pengikut Nabi Muhammad
s.a.w. juga turut sedia untuk bangun atas usaha yang mana telah dijalankan oleh
baginda dan para Sahabat. Ayat di atas menyebutkan “Aku tidak menciptakan jin
dan manusia”, dinyatakan di sini ‘manusia’ secara umum. Bukan hanya untuk mereka
yang beriman sahaja. Maknanya, seluruh manusia daripada timur hingga ke barat,
daripada zaman Rasulullah s.a.w. hingga ke hari terakhir sebelum kiamat, perlu
dibawa kepada untuk beribadah mengabdikan diri mereka kepada Allah. Maka usaha
untuk membawa mereka kepada mengabdikan diri kepada Allah inilah yang dinamakan
usaha dakwah.
Munib al-Azdi r.a.
menceritakan, “Aku telah lihat Rasulullah s.a.w. semasa zaman jahiliyyah (yakni
semasa dia belum memeluk Islam), di mana baginda menyerukan:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ
قُولُوْا لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ تُفْلِحُوا
“Wahai manusia! Ucapkanlah ‘Laa ilaaha illalLah (tiada tuhan
melainkan Allah)’ kamu akan berjaya!”
Maka ada sebahagian orang yang meludah wajah baginda,
manakala sebahagiannya melemparkan tanah kepada baginda serta ada pula yang
memaki baginda. Demikianlah berterusan sehinggalah berlalu separuh hari.
Kemudian datang seorang gadis kecil membawa kendi lalu
membasuh wajah dan tangan baginda. Baginda berkata, “Wahai puteri ku! Janganlah
risaukan bapa mu ini akan dibunuh atau dihina.”
Lalu aku bertanya, “Siapakah gadis itu?”
Orang ramai menjawab bahawa itulah Zainab binti Rasulullah
s.a.w. Dan dia seorang gadis kecil yang cantik. (Hadis riwayat
at-Tobarani)
Inilah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasulullah
s.a.w. demi mendakwahkan, mengajak dan memujuk manusia agar beriman dan
mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT.
Fadilat usaha dakwah terlalu besar. Rasulullah s.a.w.
bersabda, “Barangsiapa yang mengajak kepada hidayah, maka dia akan mendapat
pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun
ganjaran pelakunya. Barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka dia akan
mendapat dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, tanpa mengurangkan
sedikitpun dosa pelakunya.” (Hadis riwayat Muslim bersumber daripada Abu
Hurairah r.a.)
Bersediakan kita
untuk belajar melaksanakan usaha dakwah kepada Islam dan dakwah kepada
kesempurnaan iman ini?
No comments:
Post a Comment