perjalanan hidup yang berliku-liku

Shift Your Paradigme

Assalamualaikum.Maafkan saya kerana status kali ini agak panjang untuk dibaca. Namun sesiapa yang mampu membacanya kerana tidak memiliki kesibukan yang perlu diuruskan atau anak-anak yang sering menangis atau perlu diberi susu, maka bacalah dengan hati yang tenang, mudah-mudahan Allah menzahirkan manfaat melalui tulisan ini.

Kepada sekalian penuntut ilmu syarak yang sentiasa berkeinginan untuk melapangkan fikiran mereka dalam berfikir dan memajukan ummah dengan mengerahkan kekuatan intelektual, satu peraturan yang ketat harus dibentuk bagi mengekang pemikiran kita daripada melebihi had batasan yang sepatutnya. Yang lebih perlu berhati-hati dalam hal ini adalah seseorang yang ada keinginan yang kuat untuk mempelajari ilmu agama dan mengembangkan fikirannya untuk agama, namun dia masih belum menguasai ilmu-ilmu alat yang diperlukan untuk menyampaikannya kepada kefahaman yang teguh pada ilmu-ilmu tersebut. Lebih-lebih lagi, apabila "dia" yang dimaksudkan di sini tidak melalui proses pembelajaran yang rasmi di bawah didikan adab dan akhlak yang betul. Dia tidak boleh terlalu menjadikan pemikirannya bebas menerawang ke segala arah, kelak nanti akan terbabas melanggar hadangannya, yakni pagar adab, akhlak dan kesopanan yang diperlukan sebagai seorang penuntut ilmu yang berjihad di jalan Allah dengan keikhlasan yang hakiki untuk agamanya.

Betapa ramai manusia yang menghadapi keadaan ini, di mana kita melihat mereka cuba untuk menaiki tangga kemajuan, namun natijahnya mereka sampai kepada puncak sikap suka memandai-mandai pada persoalan yang berada di luar kolam pengetahuan mereka, dan dibawah tahap kemampuan akal untuk mencapainya dan berlebih-lebih dalam gaya falsafah serta pemikiran yang tidak bersandarkan kepada disiplin yang betul, atau cenderung menggunakan akal lalu mengutamakannya ke atas dalil-dalil wahyu. Ini hanya sebilangan penyakit-penyakit keilmuwan yang tertimpa kepada para penuntut ilmu syarak. Walaupun tujuan akhir mereka adalah memperoleh ilmu syarak itu sendiri, tapi sikap-sikap sebegini tidak pula menggambarkan maruah keagamaan yang mulia, berpandukan ajaran syari'ah Allah.

Kerana itu kita melihat, para Salafussoleh, sepanjang perjalanan mereka dalam menuntut ilmu, mereka telah berawas terhadap bencana-bencana sebegini. Mereka telah menjadikan diri mereka berwaspada untuk melihat musibah-musibah yang bakal menyimpangkan seorang pencari daripada pencariannya yang hilang, lalu terkandas di tengah padang pasir kekecewaan dan kekesalan. Dengan itu, mereka terlebih dahulu telah bermujahadah bersungguh-sungguh untuk menghapuskan halangan dan rintangan utama yang wujud pada hati nurani manusia yang lemah ini, kerena mereka tahu, "tangga kemajuan" itu tidak mungkin mampu mereka naiki sekiranya halangan-halangan sebegini masih wujud. Mata hati mereka tidak mungkin terbuka untuk melihat kecantikan dalam perhiasan ilmu, sekiranya cermin jiwa masih kabur dan belum digilap.

Di kala kita sedang mengajak ummat Islam untuk memperbaharui cara berfikir masing-masing dan membentuk pemikiran yang maju dan berdaya saing dalam segala aspek keagamaan, moraliti, syakhsiah peribadi, pergaulan, dan lain-lain, tanpa kita sedari, kerana lemahnya asas keimanan dan penghayatan pada Islam itu sendiri, kita sering "terbabas" melampaui landasan yang tidak sepatutnya. Punca kepada keadaan ini adalah "pintu asas" tidak dimasuki terlebih dulu, namun sudah mahu mendaki "menara kemajuan" ke arah kebebasan dalam berfikir.

Untuk mengelakkan daripada masalah sebegini tertimpa kepada sekalian manusia yang menempuh jalan keilmuwan, sangat-sangat perlu bagi mereka untuk bersabar dalam melalui tahap asas terlebih dahulu, menguasai segala disiplin-disiplin asas dalam ilmu-ilmu Islam, mempelajari nilai adab dan akhlaknya, walaupun ia tidak semestinya menarik hati dan menghasilkan kecenderungan pada minat si penuntut, kerana barangkali kita memikirkan perkara asas itu seumpama "mainan budak-budak" yang tidak lagi diperlukan kerana umur sudah dewasa dan pemikiran sudah cukup matang untuk memampukan diri terbang di awanan angkasa intelektual, namun kesabaran dalam menghadapi tahap kanak-kanaklah - setiap jerih payah dipukul, dimarahi - ditegur serta dibimbing, dididik dan diajar dengan peraturan, adab dan akhlak yang betul, itulah semua sebenarnya yang membolehkan kita untuk naik ke peringkat kedewasaan dan kematangan sebenar dalam berfikir serta kelurusan dalam memahami nilai kebijaksanaan agama.

Ketahuilah, ramai manusia yang berkeghairahan untuk menjadikan diri mereka cepat pandai di dalam sesuatu bidang dan mereka berlumba-lumba untuk mencapai sasaran dan matlamat yang mereka tujukan. Namun tidak ramai manusia yang mampu bersabar dalam menempuhi liku-liku kesukaran ilmu, menyelam ke dalam lautannya yang dalam, lalu bersabar dalam mengutip mutiara-mutiara di dasarnya, membezakan mana mutiara yang benar dan mana pula yang palsu, mengambil mana yang elok lalu membuang mana yang buruk, di dalam erti kata menghayatinya, mengamalkannya, serta menerapkan nilai-nilai ajaran ilmiyyah itu dalam kehidupan. Dan ketahuilah, ilmu itu adalah asbab kepada terhasilnya takwa dan takwa adalah wasilah kepada tercapainya matlamat terakhir di destinasi akhirat, yakni kenikmatannya yang kekal abadi.

Namun, ramai sekali manusia yang tidak mengerti bahawa hakikat takwa itu tidak dapat difahami melainkan dengan akhlak, adab dan penghormatan. Ramai sekali manusia yang masih lemah dalam perkara-perkara ini, namun dia berkeinginan untuk melepasi kelemahannya lalu naik ke tingkat kekuatan. Bagaimana ini boleh terjadi, sedangkan kekuatan itu tidak boleh dicapai melainkan setelah kelemahan diperbaiki, dikaji, dianalisis sebab-sebab dan puncanya, lalu diperelokkan agar ia tidak lagi menjadi penghalang kepada tertegaknya kekuatan, dengan itu jadilah ia menjadi pelonjak bagi seseorang untuk mendaki tangga kemajuan.

No comments:

Post a Comment