Tempoh masa
empat puluh hari sebenarnya mempunyai signifikan yang tersendiri dalam proses
pembangunan diri insan. Sebagaimana berdasarkan hadis Rasulullah SAW, tertib
kejadian manusia pun berlaku dalam tempoh empat puluh hari.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah ibni
Mas’ud RA, “Rasulullah saw telah menceritakan kepada kami – sedang Baginda
adalah orang benar yang telah dibenarkan kata-katanya - sabdanya: “Bahawa
seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari,
kemudian pada masa itu dijadikan segumpal darah seumpamanya, kemudian pada masa
itu dijadikan seketul daging seumpamanya, kemudian Allah mengutuskan seorang
Malaikat untuk menulis empat kalimah dan diarahkan agar menulis; amalannya,
ajalnya, rezekinya dan untung jahat atau untung baik, kemudian ditiupkan
rohnya…”. (HR Muslim).
Mungkin kerana itulah juga,
ulamak tasawuf berpendapat, pengamalan sesuatu ibadah secara istiqamah selama
empat puluh hari, akan memberikan kesan langsung yang khas kepada seseorang
Muslim .
Contoh yang paling jelas, satu
hadis yang berasal daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW telah
bersabda:
“Sesiapa yang mengerjakan solat berjemaah kerana Allah selama empat
puluh hari dengan memperoleh takbiratul-ula, dituliskan baginya dua kelepasan,
kelepasan daripada api neraka dan kelepasan daripada sifat munafik.” (HR
At-Tirmizi)
Melalui hadis ini dinyatakan,
kesan daripada istiqamah menjaga solat berjemaah selama empat puluh hari,
seseorang Muslim akan terpelihara daripada mempunyai sifat munafik.
Malah di dalam Al-Quran, Allah
menamakan tempoh empat puluh ini sebagai ‘al-Miqat al-Ilahiy’ (batas-masa
keilahian) bagi Nabi Musa AS .
Allah SWT berfirman,“Dan telah
Kami janjikan kepada Musa (untuk bermunajat di Bukit Tursina) selama tiga puluh
malam, dan Kami sempurnakan jumlah malam itu dengan sepuluh (malam lagi), maka
sempurnalah miqat(tempoh-masa - yang telah ditentukan) Tuhannya iaitu empat
puluh malam…” (Surah Al-A’raaf 7:142)
Ar-Razi di dalam karya tafsirnya
‘Mafatihul-Ghaib’ menyatakan, ‘miqat’ bermakna satu tempoh-masa yang telah
ditentukan kadar amalan-amalan di dalamnya.
Mungkin kerana kepentingan dan
rahsia yang ada pada ‘al-Miqat al-Ilahiy’ empat puluh hari inilah, Umar
Al-Khattab RA diriwayatkan pernah menekankan supaya seseorang itu menggenapkan
tempoh empat puluh hari untuk berjuang di Jalan Allah .
Abdul Razzaq telah mengeluarkan
daripada Yazid bin Habib dia berkata, “Pernah seorang datang kepada Umar
Al-Khattab RA lalu dia bertanya kepadanya: “Di mana engkau selama ini?”
Jawabnya:”Aku berada di perbatasan.” Tanya Umar: “Berapa hari kau di sana?”
Jawabnya: “Tiga puluh hari!” Kata Umar pula: “Kenapa engkau tidak cukupkannya
empat puluh hari” (Kanzul Ummal 1: 288)
Semoga Allah melimpahkan
taufikNya kepada kita semua agar mendapat kenikmatan dan nur dalam mentaati
segala perintahNya, sebagaimana tuntunan baginda Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment